News

Tetapkan harga siling tiket penerbangan
Posted on : 12 Apr 2022  Source of News: Utusan Borneo
 

KUCHING: Kerajaan persekutuan perlu menetapkan harga siling bagi tiket penerbangan domestik dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau berkata, langkah itu perlu diberi perhatian dalam menangani isu harga tiket terutama menjelang musim perayaan.

"Buat masa sekarang, tiada harga siling ditetapkan menyebabkan rakyat Sarawak dan Sabah terpaksa membeli tiket pada harga yang tinggi untuk pulang ketika musim perayaan.

"Oleh itu, mesti ada harga siling. Kalau harga tiket bagi penerbangan sehala dari Kuala Lumpur ke Kuching sehingga RM2,000 ke RM3,000, ia nampak tidak munasabah," katanya pada sidang media sempena menyambut ketibaan penerbangan sulung sekali sehari Firefly dari Pulau Pinang ke Kuching di sini pada Isnin.

Abdul Karim berkata, pihaknya sentiasa memberi perhatian terhadap isu berkenaan dan rundingan bersama kerajaan persekutuan sedang berjalan bagi menyelesaikannya.

Bagaimanapun, katanya ia perlu dilihat dari pelbagai perspektif agar perkara ini tidak membebankan kerajaan dan syarikat penerbangan.

"Perbincangan kita berterusan tetapi kita kena praktikal juga, jika harga tiket murah dan sesetengah penerbangan hanya mempunyai 20 atau 30 penumpang maka operator akan rugi. Kita perlu lihat dari sudut yang berbeza bagi kedua-dua belah pihak supaya tidak merugikan sesiapa," katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihati orang ramai agar membeli tiket penerbangan lebih awal sebelum musim perayaan bagi mengelakkan mereka membeli tiket pada harga yang mahal.

"Sekali gus tindakan ini membolehkan syarikat penerbangan menguruskan jadual penerbangan mengikut jumlah tiket yang sudah dibeli," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Berhad (MAB) Ahmad Luqman Mohd Azmi berkata, isu harga tiket timbul setiap tahun kerana disebabkan baki satu atau dua kerusi dalam sesebuah penerbangan.

"Bila tidak ada kerusi lagi, harga itu akan naik. Justeru, kita nasihatkan pengguna membuat tempahan awal. Kerana kalau tempahan sudah habis sekalipun, kita tahu ada permintaan dan boleh tambah kapasiti," katanya.

https://www.utusanborneo.com.my/2022/04/12/tetapkan-harga-siling-tiket-penerbangan