News

Firefly tingkat kekerapan penerbangan terus Pulau Pinang-Kuching
Posted on : 12 Apr 2022  Source of News: Utusan Borneo
 

KUCHING: Syarikat penerbangan Firefly akan meningkatkan kekerapan penerbangan terus bagi laluan Pulau Pinang ke Kuching daripada sekali sehari kepada dua kali sehari mulai 25 April ini.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penambahan ini akan memudahkan ketibaan pelancong ke Sarawak sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.

"Dengan lebih banyak penerbangan domestik terus ke Sarawak tahun ini, ia akan memacu mobiliti dan fleksibiliti yang lebih besar dari segi ketibaan pelawat ke negeri ini.

"Pada masa sama, dapat merangsang perjalanan udara selain memulihkan pelancongan domestik khususnya antara kedua-dua destinasi ini," katanya pada sidang media sempena menyambut ketibaan penerbangan sulung sekali sehari Firefly dari Pulau Pinang ke Kuching di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching di sini pada Isnin.

Hadir sama Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting, Ketua Jualan Global Malaysia Airlines Berhad Roslan Ismail dan tetamu kehormat lain.

Seramai 82 penumpang daripada penerbangan Boeing 737-800 milik Firefly itu dengan nombor pesawat FY 2752 tiba di sini, jam 4.10 petang.

Menurut Abdul Karim, Sarawak pada masa ini telah meningkatkan kekerapan penerbangan domestiknya daripada 562 penerbangan kepada 615 penerbangan.

Jelasnya, ia melibatkan penerbangan terus dari Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Ipoh, Johor Bahru, Langkawi, Kota Bahru ke Kuching, termasuk penerbangan terus dari Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang ke Sibu dan penerbangan terus dari Kuala Lumpur dan Johor Bahru ke Miri.

Sarawak telah merekodkan 229,678 ketibaan pelawat dari Januari hingga Mac 2022, peningkatan sebanyak 569.25 peratus dalam ketibaan pelawat berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

"Ini merupakan kemajuan yang hebat untuk mencapai sasaran kita sebanyak 1.2 juta ketibaan tahun ini dengan bantuan rakan kongsi syarikat penerbangan untuk menyediakan akses yang lebih besar ke Sarawak.

"Kita berharap untuk melihat lebih banyak laluan terus baharu dan meningkatkan kekerapan penerbangan terus dari hab domestik di Malaysia seperti Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Langkawi, Johor Bahru dan Kota Kinabalu," katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu Sarawak telah merancang kalendar acara menarik untuk tahun ini.

Antaranya seperti festival ikonik pada Jun nanti iaitu Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia dan Festival Jazz Borneo.

"Justeru kita harap rakan-rakan di Semenanjung Malaysia tidak akan melepaskan peluang untuk menikmati kembalinya festival ini dan seterusnya menyelami budaya, pengembaraan, alam semula jadi, makanan dan perayaan Sarawak," ujar beliau.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Malaysia Airlines Berhad Ahmad Luqman Mohd Azmi berkata penerbangan sulung semalam menandakan peristiwa penting bagi syarikat untuk meningkatkan kapasiti penerbangan ke negeri ini.

"Sarawak kekal sebagai salah satu pasaran penting untuk syarikat. Sebab itu kita menambah penerbangan ke Sarawak daripada sekali sehari kepada dua kali sehari," katanya.

Firefly ialah anak syarikat milik penuh Malaysia Aviation Group (MAG) termasuk Malaysia Airlines dan MASwings sebagai syarikat penerbangan bersama.


https://www.utusanborneo.com.my/2022/04/12/firefly-tingkat-kekerapan-penerbangan-terus-pulau-pinang-kuching