Kuching diiktiraf dalam Rangkaian Bandar Kreatif UNESCO |
Posted on : 09 Nov 2021 Source of News: Berita Harian |
KUCHING: Bandar raya Kuching kini disenaraikan dalam Rangkaian Bandar Kreatif Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi kategori gastronomi. Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata ia sekali gus menjadikan bandar raya Kuching sebagai satu daripada 49 bandar raya baharu di bawah Rangkaian Bandar Kreatif UNESCO. Justeru, katanya, ia akan menjadi titik pemasaran yang sangat baik untuk Sarawak, khususnya dari segi pelancongan. "Bandar raya Kuching akhirnya berjaya mendapatkan tempat dalam Rangkaian Bandar Kreatif UNESCO untuk menggalakkan kerjasama di kalangan bandar yang mengiktiraf kreativiti sebagai faktor utama dalam pembangunan bandar mereka. "Ini akan menjadi titik pemasaran yang sangat baik untuk kami dari segi pelancongan. Kalau nak makanan yang pelbagai, Kuching, Sarawak memang terbaik," katanya pada sidang media di pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur 2 di sini, hari ini. Berikutan pencapaian itu, Sarawak kini mendapat dua pengiktirafan di bawah UNESCO dengan satu lagi ialah Taman Negara Mulu di Miri, yang juga Tapak Warisan Dunia Unesco di Malaysia. Abdul Karim berkata, kemasukan Kuching dalam Rangkaian Bandar Kreatif adalah berikutan permohonan yang dikemukakan oleh Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) kepada UNESCO. "Kami mempunyai satu pasukan dengan MBKS yang terlibat dalam mengemukakan permohonan itu kepada UNESCO tetapi kami akan membuat sidang media yang sesuai untuk mengumumkan pencapaian ini tidak lama lagi kerana kami baru mendapat berita malam tadi," katanya. MBKS pada April tahun ini memohon Kuching diiktiraf sebagai 'Creative City of Gastronomi' di bawah Rangkaian Bandar Kreatif UNESCO. MBKS dalam satu kenyataan kemudian berkata permohonan itu adalah yang pertama untuk Malaysia di bawah tujuh bidang kreatif. Dengan penambahan 49 bandar baharu itu, Rangkaian Bandar Kreatif UNESCO mempunyai 295 bandar yang bekerjasama ke arah objektif yang sama iaitu untuk meletakkan industri kreativiti dan kebudayaan di tengah-tengah rancangan pembangunan mereka di peringkat tempatan serta bekerjasama secara aktif di peringkat antarabangsa. Selain gastronomi, enam bidang kreatif lain di bawah rangkaian ini ialah kraf dan seni rakyat, reka bentuk, filem, sastera, seni media dan muzik. |