News

MAG, STB jalin kerjasama promosi pelancongan Sarawak
Posted on : 19 Jan 2022  Source of News: Berita Harian
 

PETALING JAYA: Malaysia Aviation Group (MAG) dan Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) menjalin kerjasama strategik untuk mempromosikan Sarawak sebagai destinasi pelancongan pada tahun ini.

Kedua-dua pihak memeterai memorandum persefahaman (MoU) hari ini untuk melaksanakan kerjasama selama setahun untuk menggalakkan aktiviti pelancongan di negeri itu.

Sebagai sebahagian daripada MoU, STB dan MAG akan bekerjasama untuk memasarkan dan mempromosikan acara antara STB, Malaysia Airlines Bhd, FireFly, MASwings dan MHholidays.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak dan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata pihaknya gembira jalinan kerjasama antara STB dan MAG untuk mempromosikan dan menghubungkan Sarawak dengan pengunjung tempatan dari Semenanjung dan Sabah.

Beliau berkata, kesambungan dan akses adalah elemen penting untuk meningkatkan pengalaman pengembaraan dan meletakkan Sarawak sebagai destinasi utama bagi eko-pelancongan tempatan dan serantau.

Katanya, menerusi kerjasama STB dan MAG itu akan meningkatkan kesambungan ke Sarawak dengan lebih banyak penerbangan secara langsung ke negeri itu.

"Sarawak telah meluluskan lebih banyak kekerapan penerbangan domestik ke Sarwak daripada 307 penerbangan kepada 562 penerbangan seminggu berkuatkuasa 14 Januari lalu.

"Kami berharap melihat lebih banyak laluan terus dari Semenanjung dan ke lebih banyak bahagian di Sarawak," katanya pada sidang media sempena majlis memeterai MoU antara STB dan MAG di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi STB, Dennis Ngau, Ketua Pegawai Eksekutif STB, Sharzede Datu Salleh Askor dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Izham Ismail.

Sementara itu, Izham berkata, pihaknya meningkatkan kesambungan ke dan dalam Sarawak, dengan pelaksanaan penerbangan langsung dari Pulau Pinang ke Kuching, dan meningkatkan kekerapan Miri-Sibu-Bintulu, yang menyediakan mobiliti lebih baik kepada Sarawak dan merancakkan lagi aktiviti pelancongan di negeri itu.

Sempena MoU itu, STB melancarkan kempen pengembaraan antara negeri, Sia Sitok Sarawak Plus untuk memberikan pengembara peluang melawat Sarawak menerusi pintu masuk pelancongan utamanya iaitu Kuching, Sibu dan Miri dengan Malaysia Airlines sebagai syarikat penerbangan rasmi.

Pengguna boleh menikmati pakej hotel dan penerbangan menarik menerusi MHholidays dan tempoh tempahan bagi kempen Sia Sitok Sarawak Plus bermula 19 Januari 2022 sehingga 28 Februari 2022 untuk pengembaraan segera sehingga 30 April 2022.

https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2022/01/913329/mag-stb-jalin-kerjasama-promosi-pelancongan-sarawak