News

 

SUKMA dijangka tingkat kemasukan pelawat ke Sarawak

Posted on 12 Aug 2024
Source of News: Utusan Borneo
KUCHING: Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-21 yang akan bermula Sabtu ini sehingga 24 Ogos dijangka akan memberi impak ketara kepada peningkatan kemasukan pelawat ke Sarawak, kata Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan itu berkata, ini sekali gus akan membolehkan Sarawak mencapai sasaran empat juta ketibaan pelawat tahun ini lebih awal daripada bulan September.

"Saya yakin bahawa ramai pelawat yang memasuki Sarawak bukan sahaja daripada kontinjen setiap negeri tetapi juga dalam kalangan ahli keluarga atlet," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan penutupan Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (ICC) di sebuah hotel di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sebastian Ting dan Datuk Snowdan Lawan serta tetamu kehormat lain.

Abdul Karim yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan berkata, jumlah ketibaan pelawat yang direkodkan dari Januari hingga Julai tahun ini terdiri daripada 2,838,572 orang dengan 1,763,815 pelawat asing dan 1,074,757 pelawat domestik dari Semenanjung Malaysia dan Sabah.

Beliau berkata, ketibaan pelawat ini juga menyumbang kepada hasil pelancongan Sarawak berjumlah lebih RM7 bilion, peningkatan sebanyak 27.11 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas dengan mencatatkan lebih RM5 bilion.

“Bulan lalu (Julai), jumlah pelawat tertinggi kita (Sarawak) datang dari Brunei iaitu seramai 164,141 orang diikuti Indonesia (58,407), China (8,466), Singapura (5,111) dan Filipina (3,974)," tambahnya.

Terdahulu, Abdul Karim dalam ucapannya berharap program ICC dapat mendorong penjawat awam di bawah kementeriannya memberikan komitmen terbaik dalam tugas mereka.

“Ini terutama dalam meningkatkan cara kerja dan penyampaian perkhidmatan agensi ke tahap yang lebih cemerlang dan optimum serta penghasilan produk inovatif yang seiring dengan pembangunan sektor pelancongan, industri kreatif dan seni persembahan Sarawak," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri menyasarkan sektor pelancongan, industri kreatif dan seni persembahan Sarawak sebagai contoh serta penanda aras di Malaysia dan seterusnya antara destinasi menarik di dunia.

"Sebagai sebuah kementerian yang memikul tanggungjawab dan dasar yang berkaitan dengan industri kreatif, adalah menjadi keutamaan untuk kementerian kita sentiasa memiliki tenaga kerja yang kreatif dan inovatif,” ujarnya.

Pautan: https://www.utusanborneo.com.my/2024/08/12/sukma-dijangka-tingkat-kemasukan-pelawat-ke-sarawak