News

 

Pelancongan pupuk keamanan, persefahaman antara negara, budaya: Abdul Karim

Posted on 07 Aug 2024
Source of News: Utusan Borneo
KUCHING: Pelancongan boleh memainkan peranan penting sebagai pemangkin memupuk keamanan dan persefahaman antara negara serta budaya.

Perkara itu dinyatakan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah ketika berucap merasmikan Persidangan Antarabangsa Pelancongan dan Hospitaliti Bertanggungjawab (ICRTH) 2024 di sebuah hotel di sini, hari ini.

Menurutnya, pelancongan tidak hanya memacu pertumbuhan ekonomi tetapi menyediakan landasan untuk interaksi yang boleh memperkukuhkan asas keamanan termasuk keadilan sosial, hak asasi manusia, kesaksamaan ekonomi dan pembangunan lestari.

Tambahnya lagi, mencari keamanan, usaha yang berterusan dan kemajuan menerusi pelancongan kini lebih relevan berbanding sebelum ini.

"Potensi pelancongan menyumbang kepada keamanan signifikan, menuntut penerokaan menyeluruh dan integrasi ke dalam transformasi masyarakat yang lebih luas.

"Pelancongan yang sensitif kepada keamanan mengambil kira keadaan ekonomi dan sosial dinamik, menyokong demokrasi melalui pakatan strategik serta tanggungjawab sosial," tegasnya.

Abdul Karim yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan menambah, pelancongan merangsang inovasi dan keusahawanan, menawarkan peluang untuk inovator muda.

"Menyokong projek keusahawanan dalam pelancongan memupuk pembangunan mampan dan strategi pembinaan keamanan yang inovatif dengan penglibatan belia melalui pendidikan memanfaatkan potensi mereka untuk transformasi sosial dan promosi keamanan," tambahnya.

Ujarnya lagi, komitmen Sarawak kepada pelancongan bertanggungjawab digambarkan dengan jelas dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 diterajui Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menjelas lanjut beliau berkata, PCDS 2030 bertujuan mengubah rantau ini menjadi destinasi ekopelancongan dan acara perniagaan yang terkemuka dengan komunitinya diperkasa melalui tindakan yang bertanggungjawab.

Strategi ini jelasnya, termasuklah inisiatif dalam enam sektor ekonomi utama, dengan pelancongan memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi, meningkatkan keterangkuman sosial, dan memastikan kelestarian alam sekitar.

"Salah satu pencapaian terkini dalam landskap pelancongan Sarawak ialah pengiktirafan Gua Niah sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

"Pengiktirafan ini menggariskan kekayaan budaya dan warisan semula jadi di rantau ini dan komitmennya untuk memelihara khazanah ini generasi akan datang. 

"Inskripsi itu menyerlahkan dedikasi Sarawak terhadap pelancongan bertanggungjawab, yang memupuk keamanan dan persefahaman dengan mempamerkan sejarah manusia bersama kita," katanya.

Menurutnya lagi, produk pelancongan itu tidak hanya menarik kedatangan lebih ramai pelawat atau pelancong ke Sarawak tetapi akan mempercepatkan pelaksanaan strategi  untuk memulihara alam sekitar, memelihara warisan budaya  dan membina masyarakat inklusif yang saling menghargai.

Mengenai tema ICRTH 2024 iaitu 'Pelancongan dan Keamanan: Mempromosikan Masyarakat Aman dan Inklusif untuk Pembangunan Mampan,' Abdul Karim berkata ia merupakan perhimpunan penting para pemimpin, pemikir dan penyokong yang komited memanfaatkan kuasa transformatif pelancongan bagi keamanan dan pembangunan mampan.

Antara yang hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Pengarah Tourism Malaysia di Sarawak Nurul Ain Mohd Yunus, Ketua Institut Pelancongan Kebangsaan Kementerian Pelancongan Kemboja Poch Volerk, Pengarah Serantau Pelancongan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Asia dan Pasifik Harry Hwang serta Pengarah Perkongsian Pelancongan Bertanggungjawab, United Kingdom Prof Dr Harold Goodwin.

Turut hadir Pengerusi Persatuan Penyelidik Sarawak yang juga Pengerusi ICRTH 2024 Prof Dr Hiram Ting, Ketua Komponen Subjek Pengurusan Riadah dan Acara University of the Sunshine Coast, Australia yang juga Pengerusi Bersama ICRTH 2024 Prof Dr Aaron Tham, Pengarah Urusan Village Way, India Manisha Pande, Dekan Kolej Pengurusan Pelancongan dan Hospitaliti Antarabangsa, Lyceum of the Philippines University Dr Lilibeth Aragon.

Pautan: https://www.utusanborneo.com.my/2024/08/07/pelancongan-pupuk-keamanan-persefahaman-antara-negara-budaya-abdul-karim