KUCHING: Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan kini semakin hampir mencapai sasaran untuk mewujudkan 60 kluster inap desa, dengan 57 kluster berjaya ditubuhkan setakat ini.
Menterinya Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pencapaian ini mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak untuk menyediakan pengalaman pelancongan berasaskan komuniti yang membolehkan pelawat mendekati budaya dan tradisi tempatan.
"Kluster-kluster inap desa ini bukan sahaja menawarkan pelancong pengalaman autentik warisan budaya Sarawak yang pelbagai tetapi juga menyediakan peluang ekonomi yang signifikan kepada komuniti luar bandar," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Abdul Karim berkata, program ekopelancongan dan pelancongan berasaskan komuniti merupakan elemen penting dalam pelancongan riadah dan pelancongan berasaskan lokasi, dengan melibatkan komuniti dan lebih ramai pelabur swasta untuk memperkukuhkan industri pelancongan Sarawak.
Ia ujarnya, seperti yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 dan Pelan Induk Pelancongan Sarawak 2020-2035.
"Dalam usaha ini, kementerian saya telah bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan industri untuk membangunkan sektor-sektor ini,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata kementeriannya telah menganjurkan sembilan sesi latihan peningkatan kapasiti untuk memperkukuhkan kemahiran dan pengetahuan dalam kalangan komuniti.
"Sesi ini melibatkan 198 peserta, membekalkan mereka dengan alat dan pandangan penting untuk menyumbang dengan lebih berkesan dalam bidang masing-masing.
"Melalui sesi ini, kita berhasrat mewujudkan persekitaran kolaboratif yang meningkatkan kompetensi individu dan pembangunan komuniti secara kolektif," jelas beliau.
Berhubung isu dibangkitkan Baru Bian (GPS-Ba’Kelalan) semasa persidangan minggu lalu, Abdul Karim berkata kerajaan mengiktiraf peranan penting dalam menyokong komuniti tempatan, khususnya di Ba’Kelalan untuk melibatkan diri secara aktif dalam perniagaan tempatan dan merebut peluang daripada peningkatan pelawat serta tarikan pelancongan yang dijangka.
Menurutnya, usaha sedang dijalankan untuk membantu penduduk tempatan dengan menggalakkan penyertaan dalam pelancongan melalui inisiatif seperti Program Pengalaman Inap Desa Malaysia.
Program ini katanya, turut memupuk peluang keusahawanan dalam bidang kraf tangan, perkhidmatan pelancongan dan pengalaman budaya, memastikan pertumbuhan mampan dan memaksimumkan manfaat kepada ekonomi tempatan.
"Pada masa ini, terdapat satu kluster inap desa yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) di Ba’Kelalan, yang terdiri daripada 24 pengusaha inap desa dengan sejumlah 69 bilik.
"Sehingga September 2024, inap desa ini telah menerima sejumlah 1,146 pelawat dengan hasil sebanyak RM422,510," katanya.
Beliau turut memberitahu bahawa MOTAC telah menerima sembilan permohonan baharu untuk pengusaha inap desa, menyokong lagi pengembangan pelancongan berasaskan komuniti di Ba’Kelalan.
"Kementerian saya juga menganjurkan program peningkatan kapasiti dari semasa ke semasa untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan mereka dalam sektor hospitaliti," katanya.
Source Link: https://www.utusanborneo.com.my/2024/11/19/sasaran-60-kluster-inap-desa-semakin-hampir-dicapai