News

 

S-MM2H: Syarat mohon ditambah baik, keperluan pelesenan baharu ejen berkuat kuasa 1 Jan 2025

Posted on 31 Oct 2024
Source of News: Utusan Borneo
KUCHING: Syarat permohonan untuk Program Malaysia Rumah Keduaku, Sarawak (S-MM2H) telah ditambah baik, dengan pelaksanaan keperluan pelesenan baharu untuk ejen akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2025.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, inisiatif itu terhasil selepas kementeriannya diberi kuasa oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) untuk menyelia lesen perniagaan pelancongan tempatan bagi program S-MM2H di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482).

"Kementerian seterusnya melaksanakan bengkel dengan ahli jawatankuasa panel S-MM2H untuk berbincang dan memuktamadkan keperluan terkini bagi permohonan program dan garis panduan permohonan pelesenan membabitkan ejen S-MM2H, dengan perbincangan turut diadakan bersama semua ejen pada 5 September lalu.

"Selepas itu, kementerian saya mengemukakan penambahbaikan keperluan SMM2H dan pelesenan baharu ejen kepada kabinet untuk kelulusan; dan ia telah diluluskan oleh kabinet bertarikh 24 Oktober 2024," ujarnya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Program MM2H Sarawak di Bangunan Baitulmakmur II di Petra Jaya di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Hii Chang Kee.

Abdul Karim berkata, antara syarat yang ditambah baik ialah program S-MM2H terbuka kepada rakyat semua negara yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Malaysia dan mestilah berumur 30 tahun tahun dan ke atas; dan pemohon dikehendaki membayar yuran pemprosesan sekali sahaja sebanyak RM5,000 (tidak dikembalikan) kepada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP).

Abdul Karim yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan menambah, pemohon mesti membuka akaun Simpanan Tetap dengan mana-mana bank tempatan di Sarawak sebagai sebahagian daripada keperluan syarat tersebut.

"Jumlah yang diperlukan ialah RM500,000 untuk setiap permohonan termasuk pasangan dan tanggungan.

"Selain itu, bukti pendapatan pencen, pendapatan luar pesisir dan dana simpanan selama tiga bulan diperlukan sebagai bukti keupayaan kewangan untuk menyara diri semasa tinggal di Sarawak," katanya. 

Mengenai keperluan pelesenan baharu untuk ejen S-MM2H, beliau berkata antara lain ejen mesti terdiri daripada syarikat sendirian berhad yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 2016 (Akta 777) dan hendaklah mematuhi syarat modal berbayar diterbitkan sebanyak RM100,000.

"Pemegang saham hendaklah 100 peratus warganegara Malaysia dan warga berasal Sarawak dan entiti pemilikan Sarawak.

"Warganegara asing tidak dibenarkan untuk menjadi ahli lembaga pengarah; dan ahli lembaga pengarah hendaklah 100 peratus warganegara Malaysia dengan minimum 51 peratus warga berasal Sarawak," jelasnya. 

Tambah Abdul Karim, penambahbaikan dan keperluan pelesenan baharu untuk ejen S-MM2H merupakan pencapaian penting bagi MTCP, susulan ia membolehkan pihaknya meningkatkan peranan Pusat Sehenti S-MM2H bukan sahaja dalam memproses permohonan, tetapi juga melesenkan ejen S-MM2H.

Untuk maklumat lanjut mengenai syarat-syarat permohonan lain dan keperluan pelesenan baharu bagi ejen, sila layari laman web kementerian di https://mtcp.sarawak.gov.my

Pautan: https://www.utusanborneo.com.my/2024/10/31/s-mm2h-syarat-mohon-ditambah-baik-keperluan-pelesenan-baharu-ejen-berkuat-kuasa-1-jan