KUCHING: Sarawak harus memulakan usaha mengumpul dan menyatukan data mengenai industri krafnya untuk mencapai potensi penuh dan memacu pembangunannya.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, peningkatan ekonomi kraf global memberi impak ketara kepada kesejahteraan dan pembangunan sosioekonomi, identiti budaya dan daya tahan komuniti.
Beliau berkata, sektor itu merangkumi pelbagai aktiviti termasuk kemahiran artis tradisional, perniagaan berasaskan kraf moden dan integrasi teknologi dalam pengeluaran kraf.
Abdul Karim memetik data daripada Grand View Research yang menganggarkan pasaran kraf tangan global pada AS$678.24 bilion (RM3.19 trilion) pada 2022, dengan unjuran kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 4.7 peratus dari 2023 hingga 2030.
"Oleh itu, saya ingin melihat Sarawak mula mengumpul dan menyatukan data mengenai kraf supaya kita boleh mempunyai pemahaman yang lebih baik tentang cara membina dan menjadi sebahagian daripada ini," katanya ketika merasmikan Persidangan Global BorneoCraft 2024 di sini, hari ini.
Dengan menyatukan data katanya, Sarawak akan berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk menganalisis dan memahami keperluan industri kraf atau mengatasi kekurangannya.
"Ini supaya kita dapat memberikan bantuan yang diperlukan, sama ada latihan kemahiran, pembangunan kapasiti atau sokongan kewangan," katanya lagi.
Mengulas mengenai persidangan itu, Abdul Karim berkata, acara mercu tanda yang julung kali diadakan itu melakar peristiwa penting bukan sahaja untuk Kuching dan Sarawak, tetapi juga untuk komuniti kraf global.
"Persidangan ini adalah perayaan kreativiti, warisan dan kuasa penyatuan seni. Ia menyediakan platform bagi suara daripada pelbagai latar belakang untuk berkumpul, berkongsi idea, memberi inspirasi kepada inovasi dan memupuk kerjasama yang merentasi sempadan.
"Dengan meraikan perbezaan, kita boleh memupuk semangat kerjasama yang memberi inspirasi kepada keamanan dan perpaduan," katanya.
Beliau menggalakkan peserta meneroka pelbagai topik, termasuk kemampanan dalam kraf, teknik inovatif dan strategi untuk pemasaran di pasaran global.
"Kita bertuah kerana terdapat beberapa pakar terkemuka dan pengamal berpengalaman dalam bidang ini yang akan berkongsi pengetahuan dan pandangan mereka semasa persidangan ini.
"Saya percaya sumbangan mereka akan mencetuskan idea baharu dan melonjakkan industri kraf ke arah yang lebih tinggi.
"Justeru, marilah kita merebut peluang ini untuk memupuk persekitaran pertumbuhan dan kerjasama," tambahnya.
Bertemakan 'Globalising Local,' acara itu menekankan potensi kraf untuk merapatkan budaya, memupuk persefahaman dan menyatukan masyarakat yang pelbagai.\