News

 

Malaysia destinasi pelancongan selamat

Posted on 26 Nov 2024
Source of News: Utusan Borneo
KUCHING: Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah memberi jaminan bahawa Malaysia khususnya Sarawak, merupakan destinasi pelancongan yang selamat bagi pelawat dari seluruh dunia.

Jelas beliau, tahap keselamatan di Malaysia berada pada tahap baik dengan pelancong jarang menghadapi masalah keselamatan serius di mana-mana negeri, termasuk Sarawak. 

Abdul Karim turut menyatakan keyakinannya terhadap tahap keselamatan yang dikawal selia oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi-agensi keselamatan lain di Malaysia. 

“Kes jenayah memang ada di mana-mana, bahkan saya sendiri pernah menjadi mangsa penyeluk saku di Itali, di sini pun ada juga kes (penyeluk saku) tetapi keadaannya sangat terkawal,” katanya kepada pemberita pada sidang media sempena sambutan Hari Belia Sarawak di Bangunan Baitulmakmur II di sini hari ini.

Abdul Karim turut berkongsi pengalaman pelancong yang menyertai acara Regata Perahu Naga Antarabangsa Sarawak baru-baru ini, yang menyifatkan suasana di negeri ini sebagai mesra dan selamat. 

“Barang-barang mereka yang ditinggalkan di tepi sungai dijaga oleh dua hingga tiga orang Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dengan baik dan tiada kejadian kecurian. Mereka juga berasa kedatangan mereka sangat dialu-alukan di sini dan meminta untuk dijemput lagi pada masa akan datang,” tambahnya.

Mengulas lanjut, Abdul Karim berkata faktor keselamatan ini adalah salah satu sebab utama jumlah pelancong ke Sarawak terus meningkat setiap tahun sehingga negeri berjaya mencapai sasaran pelancongannya.

Menurutnya pada tahun 2022, Sarawak mencapai sasaran dua juta pelawat, diikuti dengan tiga juta pada 2023. 

Tahun 2024 katanya, mencatatkan kejayaan luar biasa apabila sasaran empat juta pelawat berjaya dicapai pada minggu pertama November.

“Setiap tahun kita berjaya menambah sejuta pelawat, satu angka yang sangat besar dan bukan mudah dicapai. Ini bukan data yang direka tetapi diperoleh daripada laporan Jabatan Imigresen.

“Kenaikan jumlah pelancong ini membuktikan mereka berasa selamat dan dialu-alukan di Sarawak,” katanya. 

Tambah beliau bagi tahun 2025, Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyasarkan kehadiran lima juta pelawat dan sehubungan itu, Abdul Karim menyeru semua pihak untuk bekerja lebih keras bagi mencapai matlamat tersebut.

Pautan: https://www.utusanborneo.com.my/2024/11/26/malaysia-destinasi-pelancongan-selamat